Rabu, 7 Mei 2014

Helang yang Setia



Al-kisah terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak. Setiap kali dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama.

Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang kesayangannya. Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil melihat ke bawah mencari binatang yang diburu oleh tuannya.

Tiba-tiba burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya, pemburu tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba ke tempat itu, pemburu nampak seekor pelanduk yang sedang enak memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka pemburu, si pelanduk sedar akan kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.

Pemburu dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah penat mengejarnya tadi.

Selepas penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.

Apabila pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis air di tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung helang menepis tangan tuannya sekali lagi.

Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan yang sedang terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu sungai.

Pemburu itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya telah mati dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, “Tuan, kenapa tuan memanah saya? Apa salah saya?”. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh, pemburu itu ternampak seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular meleleh masuk ke dalam sungai.

Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia hendak mencedok air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan jatuh sakit kelak.

Rasa kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. “Sungguh setia helang aku, maafkan aku helang” kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.



Khamis, 1 Mei 2014

Semut dengan Burung Merpati



Pada suatu hari, seekor semut berjalan-jalan mencari makanan di pinggir sungai. Š…eperti biasa dia berjalan dengan riang. Tiba-tiba ia terjatuh ke dalam sungai kerana tidak berhati-hati.

Semut itu timbul tenggelam dihanyutkan oleh arus sungai. Dia berusaha untuk berenang ketepi tetapi tidak berhasil sehingga kepenatan.

Kejadian itu disedari oleh seekor burung merpati. Burung merpati merasa kasihan terhadap nasib malang yang menimpa semut itu dan mahu menyelamatkannya.

Lalu burung merpati memetik daun dan menjatuhkannya berdekatan dengan semut. Semut merayap naik ke atas daun dan akhirnya dapat menyelamatkan dirinya. Daun itu akhirnya tiba ke tepi sungai dan semut pun terselamat.

Tidak lama kemudian, sang semut melihat seorang pemburu burung sedang mengendap-endap berusaha mendekati burung merpati yang telah menolongnya tadi. Semut menyedari bahaya yang bakal menimpa burung merpati yang baik tersebut. Semut segera berlari mendekati pemburu dan menggigit kaki sang pemburu.

Pemburu itu kesakitan dan terkejut, lalu mengibaskan ranting yang digunakan untuk menangkap burung. Burung merpati menyadari kehadiran pemburu yang sibuk mengibas-ngibaskan ranting dan kesakitan. Akhirnya burung merpati itu pun terbang menyelamatkan dirinya.


Rabu, 30 April 2014

Sang Monyet yang Degil



Pada suatu hari Sang Kancil sedang berjalan-jalan di kebun buah-buahan dan sayur-sayurannya bersama rakannya Sang Kura-kura. Sedang asyik mereka menikmati buah-buahan di situ, tiba-tiba datang Sang Monyet yang kelihatan amat kelaparan sekali.

"Tolong, tolong, aku amat lapar sekali. Sudah beberapa hari aku tak makan", kata Sang Monyet dengan sedih.

"Bolehkah kiranya kamu berdua berikan sedikit buah-buahan untuk aku makan", pinta Sang Monyet tadi.

Sang Kancil dan Sang Kura-kura berasa amat sedih dan kasihan melihat keadaan Sang Monyet seperti itu.

"Baiklah Monyet, ambillah apa saja yang kau mahu", kata Sang Kancil.

"Terima kasih Kancil, terima kasih Kura-kura", seloroh Sang Monyet gembira.

Melihatkan pepohon buah-buahan yang merimbun di hadapannya, mulalah Sang Monyet berasa tamak. Tiba-tiba dia ternampak akan pokok cili yang ranum dengan cili-cili yang merah menyala.

"Aku mahu itu, aku mahu itu!", teriak Sang Monyet.

"Jangan Monyet, nanti kau yang menanggung pedihnya", tegah Sang Kura-kura.

"Betul tu Monyet, pilihlah buah yang lain", sokong Sang Kancil.

"Ah, aku tak peduli. Aku mahu buah itu juga", kata Sang Monyet tegas.

Dengan tidak mempedulikan amaran Sang Kancil dan Sang Kura-kura, Sang Monyet terus meluru ke arah pokok cili. Dia memetik cili-cili yang merah menyala itu dan terus memakannya dengan gelojoh.

Tiba-tiba Sang Monyet menjerit,

"Pedas!!!, pedas!!!, air, air, mana air. Pedas!!!",

Dengan muka yang merah kerana menahan Sang Monyet berlari mencari air bagi menghilangkan pedas di lidahnya itu, sambil Sang Kancil dan Sang Kura-kura menggeleng-gelengkan kepala mereka.



Rabu, 23 April 2014

Kisah Arnab dan Kura-Kura




Pada suatu hari, Sang Kura-kura sedang berjalan perlahan-lahan mengambil angin pagi di rimba. Tiba-tiba datang Sang Arnab yang memang terkenal antara binatang yang pantas di rimba itu.

"Eh, Kura-kura, ada kau di sini, mahu ke mana kau?", kata Sang Arnab membuka bicara.

"Ya, Arnab, aku tak ke mana-mana saja berjalan-jalan", jawab Sang Kura-kura.

"Kura-kura-Kura-kura, kasihan aku tengok kau ni, jalan pun lambat, bila kau mahu tiba ke destinasi", ejek Sang Arnab yang memang dikenali suka mengejek yang lemah.

"Tak apalah Sang Arnab, dah dijadikan aku begini, aku redha", kata Sang Kura-kura sambil terus berjalan meninggalkan Sang Arnab tadi.

Sang Arnab masih tidak berpuas hati kerana Sang Kura-kura sepertinya tidak terkesan akan sindirannya tadi. Lantas dia mengemukakan satu cabaran kepada Sang Kura-kura dengan niat mahu mengenakan dan memalukannya.

"Apa kata kalau kita berlumba Kura-kura, saja aku mahu bersaing dengan kau",

"Tidak apalah Arnab", jawab Sang Kura-kura ringkas.

"Tak kira Kura-kura kau mesti berlumba dengan aku juga besok, aku tunggu dekat tebing sungai sana", kata Sang Arnab tidak mempedulikan kata-kata Sang Kura-kura.

Keesokkan harinya, seluruh rimba datang untuk menyaksikan perlumbaan antara Sang Arnab dan Sang Kura-kura itu. Dengan Sang Kancil menjadi pengadilnya, perlumbaan yang dijadualkan bermula dari tebing sungai, menelilingi rimba dan tamat di tebing sungai kembali, perlumbaan itu dimulakan di tengah-tengah hiruk pikuk penyokong kedua-dua peserta.

Dengan pantasnya Sang Arnab berlari jauh meninggalkan Sang Kura-kura. Sedang Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan melepasi garisan mula.

Setelah beberapa ketika Sang Arnab berhenti di bawah sebatang pokok. Lalu dia memerhatikan kalau-kalau ada kelibat sang Kura-kura di belakangnya.

"Ah, pasti sudah jauh ku tinggalkan Kura-kura, garisan tamat pun dah dekat, mengantuk pula aku, baik aku tidur sekejap, bila aku terjaga nanti Kura-kura pasti belum memotong aku", fikir Sang Arnab.

Dengan rasa mengantuknya, Sang Arnab pun tidur di bawah pokok tersebut.

Tidak lama kemudian, Sang Kura-kura tiba di pokok tempat Sang Arnab sedang tidur. 

Dengan tidak mempedulikan Sang Arnab, Sang Kura-kura terus berjalan menuju garisan penamat.

Selepas beberapa ketika, Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Dengan tergesa-gesa dia berlari menuju garisan penamat.

"Ish, lama pula aku tidur, entah-entah Sang Kura-kura sudah memotong aku", getusnya sendiri.

Sesampainya Sang Arnab di garisan penamat kelihatanlah Sang Kura-kura menerima ucapan tahniah dari binatang-binatang rimba yang lain kerana memenangi perlumbaan itu. Dengan rasa malunya Sang Arnab beredar pantas dari situ kerana tewas kepada Sang Kura-kura sambil diketawakan para penghuni rimba.


Rabu, 5 Mac 2014

Burung Merak dan Burung Gagak



Mengikut cerita dongeng, pada zaman dahulu kala, binatang-binatang dalam hutan kebanyakannya berwarna putih. Ia termasuklah gagak dan kawan baiknya, merak. Pada suatu hari, merak dan gagak berehat di tepi jeram yang jernih airnya. Mereka berbual-bual kosong. Tiba-tiba merak bertanya kepada gagak, "gagak-gagak.. engkau tidak bosan ke melihat diri kita ini yang hanya berwarna putih sahaja". Gagak menjawab "hmm, aku pun rasa bosan juga, jadi apa fikiran engkau merak?". Merak pun menjawab "aku rasa lebih baik kita warnakan bulu-bulu kita ini, biar nampak cantik dan menawan".... Gagak termenung, dan tiba-tiba gagak bersetuju dengan kata-kata merak: "baik merak.. aku setuju!!, tapi macam mana nak warnakan bulu kita ini?"... Merak dengan selambanya berkata... "macam ini gagak, engkau warnakan bulu aku dulu, kemudian aku warnakan bulu engkau pula, lagipun antara kita berdua ni, engkau kan lagi pandai mewarna".. Gagak yang pantang dipuji, terus sahaja bersetuju dengan cadangan merak.

Dengan penuh keyakinan dan kesabaran, si gagak pun mewarnakan bulu merak dengan begitu indah, dan menawan. Setelah siap, si merak dengan rasa teruja pergi ke tepi sungai dan terlihat bayang-bayangnya dalam air, merak terpersona dengan keindahan hasil kerja gagak, maka timbullah perasaan dengki dalam hati merak. Merak berasa megah dan tidak mahu ada burung lain secantik dirinya. Apabila tiba giliran gagak, merak menyuruh gagak menutup mata sebelum dia mewarnakan bulu si gagak. Gagak bersetuju dengan merak dan terus menutup matanya. Merak terus mulakan rancangan jahatnya. Merak mengambil warna hitam dan menuangnya ke atas gagak. Selepas itu, merak berkata:" baiklah gagak, aku sudah siap mewarnakan bulumu." Gagak pun membuka matanya dengan hati yang berdebar-debar. Gagak terkejut lalu menjerit:" Merakkk!!...apa yang telah engkau buat kepada bulu aku ini!!. Gagak terlalu terkejut, sehingga dia hilang suara dan hanya mampu menyebut 'ark!!....ark!!...ark!!"....iaitu hujung nama meRAK. Setelah itu, gagak terbang dengan hati yang hampa...begitulah al-kisahnya cerita dongeng kenapa gagak bunyi ark...ark...ark!!...

Nilai-nilai yang terdapat dalam cerita ini adalah:-
1. Tidak mementingkan diri sendiri. 
2. Kejujuran.
3. Elakkan sifat hasad dengki. 

Mari Mengenali ABC